NISER > News > Akta perlindungan peribadi akan dibentang
               
               
              Akta perlindungan peribadi akan dibentang 
              2nd December 1998 (Komputer)
              KEMENTERIAN Tenaga Komunikasi dan Multimedia akan membentangkan Akta Perlindungan Peribadi pada sesi Parlimen akan datang, bagi melindungi kepentingan individu yang berurus niaga melalui Internet. 
              Timbalan Menterinya, Datuk Chan Kong Choy, berkata beberapa peraturan akan diperkenalkan mengikut akta itu, bagi memastikan individu terbabit mengikuti garis panduan yang ditetapkan. 
              "Perkembangan pesat perdagangan elektronik (EC) memerlukan kerajaan melaksanakan beberapa peraturan bagi menggalakkan pertumbuhannya secara positif," katanya menjawab soalan Lim Lay Hoon (BN -Padang Serai) pada persidangan Dewan Rakyat, di Kuala Lumpur minggu lalu. 
              Antara akta yang sudah dilaksanakan ialah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, yang menyediakan denda berkaitan penyalahgunaan Internet; Akta Tandatangan Digital 1997, serta Akta Jenayah Komputer 1997 dan Akta Hakcipta (Pindaan) 1997 untuk melindungi urus niaga melalui Internet. 
              Beliau berkata, kemudahan Internet digunakan oleh pelbagai pihak bagi mempromosikan keluaran syarikat masing-masing. Jumlah urus niaga yang dikendalikan menerusi perdagangan elektronik (EC) pertambah dengan begitu pesat setiap tahun dan dianggarkan akan meningkat kepada RM80 juta tahun ini," katanya menjawab soalan tambahan Hoo Seong Chang (BN-Kluang). 
              Katanya, jumlah urus niaga EC juga dijangka bertambah kepada RM400 juta pada tahun depan dan kepada RM4.2 bilion pada tahun 2001, sejajar dengan aliran perdagangan seumpama itu di seluruh dunia. 
              Rangka Kerja Kebangsaan, yang diketuai Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Halim Ali juga telah ditubuhkan bagi mengkaji infrastruktur perdagangan elektronik dan aplikasinya. Menjawab soalan tambahan Datuk Hon Choon Kim (BN-Seremban) mengenai banyak e-mel yang tidak diperlukan, tetapi dihantar menerusi e-mel, beliau berkata, kerajaan tidak boleh memberhentikan aliran bebas maklumat di Internet. 
              Katanya, hanya akta yang telah dan akan diperkenalkan boleh diguna untuk mengatasi masalah yang timbul dalam penggunaan Internet. - Bernama 
              
  
               
              
              
                Disclaimers and copyright information 
              
             |